Selayang TOTAL Lockdown Pasang Kawat Duri




Pusat bandar utara dan sekitar Pasar Borong Kuala Lumpur, di Selayang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula hari ini hingga 3 Mei ini.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata PKPD keenam itu membabitkan lapan parcel di kawasan terbabit.

Katanya, parcel yang membabitkan Pusat Bandar Utama adalah Parcel A: Jalan 6/3A, Parcel B:Jalan 6/3A dan 9/3A, Parcel C: Jalan 2/3A serta Parcel D: Jalan 2/3A.

Parcel lain adalah Parcel E1: Taman Sri Murni Fasa 2, Jalan 1/2D; Parcel E2: Taman Sri Murni Fasa 1, Jalan 1/2D; Parcel E3: Taman Sri Murni Fasa 3, Jalan 1/2B dan Parcel F: Taman Batu View dan Taman Batu Hampar.

Ismail Sabri berkata, PKPD itu dilaksanakan bagi membendung jangkitan COVID-19, sekali gus membolehkan aktiviti pengesanan dilaksanakan sepanjang tempoh PKPD itu berkuat kuasa.

“Semua penghuni diminta bertenang dan memberi kerjasama sepenuhnya kepada petugas Kementerian Kesihatan serta mematuhi semua arahan pihak berkuasa,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai PKP di Putrajaya, hari ini.

Difahamkan, kira-kira 15,000 penduduk di kawasan sekitar terkesan akibat pelaksaan PKPD berkenaan.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, PKPD itu tidak membabitkan penutupan Pasar Borong Kuala Lumpur yang juga dikenali sebagai Pasar Borong Selayang, justeru ia tidak akan menjejaskan bekalan barangan dan makanan dari pasar itu.

“Kita menutup kawasan perumahan terutama ramai rakyat Rohingya pemegang kad UNHCR (Pesuruhjaya Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian) (di kawasan itu), manakala pasar borong dibuka seperti biasa,” katanya.

Beliau berkata, penghuni yang memerlukan bantuan atau mempunyai sebarang pertanyaan boleh menghubungi Bilik Gerakan PKP Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di talian 03-4026 7222 atau Pusat Kawalan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul di 03-4048 2212.

Comments