COVID19 - Robot MCK19 bantu barisan hadapan di hospital





Inisiatif Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) yang menggerakkan kerjasama kementerian, akademia dan industri berjaya menghasilkan sebuah robot berautonomi yang dinamakan MCK19 untuk kegunaan khususnya di hospital ketika pandemik COVID-19.

Melalui kerjasama kurang daripada dua minggu itu, sebuah prototaip robot MCK19 yang merupakan Sistem Robot Penghantaran telah dihasilkan untuk membantu petugas barisan hadapan menjalankan urusan penghantaran dan perkhidmatan kepada pesakit dalam siasatan (PUI) COVID-19 di hospital.

MOSTI dalam satu kenyataan, memaklumkan kerjasama itu turut melibatkan Kementerian Kesihatan (KKM), Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Hospital Canselor Tuanku Muhriz Universiti Kebangsaan Malaysia (HCTM) dan DF Automation and Robotics Sdn Bhd (DF).

Demonstrasi prototaip MCK19 di HCTM disaksikan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin dalam satu sesi webinar.

Khairy dalam kenyataan itu berkata MCK19 menggunakan Zalpha, sebuah robot komersial ciptaan syarikat tempatan, DF, yang boleh menampung muatan sehingga 300 kilogram dan boleh dinavigasi secara bebas untuk membantu doktor atau jururawat dalam penghantaran makanan atau ubat-ubatan ke bilik PUI di hospital.

"Robot ini mengaplikasikan teknologi Internet of Things (IoT) yang boleh diakses oleh mana-mana komputer, tablet atau telefon pintar. 

"Skrin LCD yang terdapat pada robot berkenaan dalam sedikit masa lagi akan mampu diguna pakai untuk telesidang antara doktor dan pesakit dari bilik atau pejabat," katanya.

MCK19 ini akan menjadi pemangkin kepada pengaplikasian teknologi tempatan dalam menyelesaikan masalah-masalah yang dihadapi negara. 

Ini seterusnya akan membantu untuk mengembangkan industri teknologi tempatan, meningkatkan kepakaran modal insan tempatan dalam teknologi serta secara langsung membangunkan ekonomi negara ke arah negara maju dipacu oleh teknologi. 


Terima kasih kerana bersama Bro Jinggo Channel (BJC), mohon [SUBSCRIBE] Channel YouTube ini untuk mengikuti lebih banyak video menarik di masa akan datang! Jika anda menyukai berita ini mohon [LIKE] dan [SHARE] sebagai tanda sokongan anda. Sokongan anda amat hargai. Terima kasih.  

Comments